Hasil Kajian UKM tentang Arabic Gum /Al- Manna

Penyelidikan yang pernah dijalankan UKM tentang keberkesanan Gum Arabic..
KUALA LUMPUR, 28 Jun, 2011 – Getah Arab (Gum Arabic) sejenis prebiotik asli yang hanya terdapat di Sudan mempunyai potensi dalam industeri perubatan, makanan dan solek antarabangsa akan dapat menguatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab halal dengan adanya penyelidikan rapi mengenainya yang dipelopori UKM.
Universiti ini terlibat dalam suatu usahasama tiga pihak antara kerajaan, universiti dan sewasta untuk meningkatkan pengenalan terhadap khasiat kesihatan dari getah ini.
Pihak kerajaan terdiri dari Lembaga Gum Arabic Sudan (GAB) dan Kedutaan Besar Sudan di sini manakal UKM adalah rakan universiti dan pihak sewasta pula diwakili Natural Prebiotic Sdn Bhd dan pengarahnya Ramli Sani yang mencetuskan usaha kolaborasi ini.
Ramli, 41 tahun, adalah juga bukti khasiat getah ini kerana beliau dahulu terpaksa menjalani rawatan dilasis tiga kali seminggu kerana buah pinggangnya sudah tidak berfungsi. Berkat penggunaan getah itu selama tujuh bulan buah pinggangnya sudah puleh dan beliau sejak 10 bulan kebelakangan ini tidak lagi perlu menjalani rawatan itu.
Beliau terlibat menjalankan beberapa project kontrek di Sudan dan kini adalah setiausaha agung Dewan Perniagaan Malaysia Sudan. Pengalamannya menggunakan getah Arab itu telah membawanya kepada Profesor Dr Aminah Abdullah, Felo Utama di Sekolah Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi UKM hingga membawa kepada termeterainya surat hasrat mengadakan hubungan antara mereka bulan Jun tahun lalu.
Ramli begitu yakin dengan usaha itu hingga sanggup menyerahkan tiga peratus dari untung runcit oleh syarikatnya Natural Prebiotic kepada usaha penyelidikan mengenai getah itu oleh UKM. Natural Prebiotic adalah pengedar tunggal produk getah Arab di rantau ini melainkan Indonesia.
Prebiotik adalah sejenis makanan untuk bakteria semula jadi yang terdapat dalam perut yang menentukan pengkhadaman makanan dapat berfungsi dengan baik. Bahan ini kini terdapat dalam makanan seperti berteh, beberapa jenis roti dan juga kapsul kebanyakannya di impot dari Barat.
Kelebihan getah Arab dari Sudan ini ialah lebih 90 peratus daripadanya adalah jenis terbaik dan diperolehi secara semula jadi dari dua jenis pohon acasia yang hanya boleh di tanam di Sudan. Usaha menanamnya di negara jiran Sudan seperti Chad dan juga di Amerika telah gagal.
Getahnya diperolehi dengan menoreh kulitnya sebagaimana pohon getah ditoreh untuk mengeluarkan susu getah.
Antara beberapa produk getah Arab ini yang diedarkan syarikat Natural Prebiotic di sini, negeri Thai, Singpura dan Brunei dalam bentuk kapsul dikatakan boleh mengatasi masalah senak perut dan sembelit, mengawal kedudukan gula dalam badan, meningkatkan sistem imunasi dan menguatkan tenaga.
Syarikat itu juga memasarkan sejenis minuman dari buah Baobab yang kaya dengan vitamin C dan B dan mineral seperti kalium, kalsium, zat besi selain mempunyai kandungan antioxidan yang tinggi sebagai penawar ceret beret dan sembelit.
Getah Arab ini dikatakan mempunyai kandungan prebiotik semulajadi tertinggi sama fungsi dengan prebiotik yang terdapat dalam susu ibu and 10 kali ganda kaya dengan kalsium yang terdapat dalam susu lembu.
Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Wira Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hari ini merasmi Persidangan Antarabangsa Getah Arab dan kemudian menyaksikan upacara menanda tangani perjanjian antara UKM dan Natural Prebiotic untuk melakukan penyelidikan bagi meningkatkan penggunaan getah itu serta mengesan khasiatnya yang lain.
Beliau menganggapkan kolaborasi tiga pihak itu sebagai suatu usaha strategik. UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan berminat meningkatkan pengetahuan yang boleh mendatangkan faedah kepada kedua negara Malaysia dan Sudan.
Dengan kerjasama GAB, Pusat Inovasi Bagi Teknologi Manisan (MANIS) dibawah kelolaan Prof Aminah usaha penyelidikan tentunya boleh dilakukan untuk memantabkan lagi penggunaan getah Arab dalam industeri pemakanan, perubatan, persolekan dan kesihatan.
MANIS akan menumpukan penyelidikannya terhadap meningkatkan penggunaan getah itu untuk mengeluarkan produk gula-gula dan konfektionari. Beliau juga berharap GAB akan membantu mengujudkan Pusat Penyelidikan Getah Arab sebagaimana dicadangkan MANIS.
Getah Arab, katanya, bukan saja suatu produk tambahan yang digunakan untuk pengemulsi, memekatkan selain dari sebagai prebiotik ia juga adalah suatu produk halal.
Beliau yakin penyelidikan di UKM itu akan membawa kepada pengeluaran produk lebih inovatif yang boleh meningkatkan permintaan getah itu di pasaran antarabangsa.
Persidangan hari ini juga disajikan pertunjukan mengenai kegunaan getah itu dalam industeri makanan dan perubatan. Kertas-kertas kerja yang dibentangkan juga menyentuh usaha penyelidikan yang telah pun dijalankan berhubung dengan khasiat kesihatannya.
Prof Sharifah Hapsah juga berharap penyelidikan terhadap kemungkinan penggunaan getah Arab dan carrageenan, suatu produk dari rumpai laut Malaysia boleh menghasilkan makanan hidrocoloid yang lebih baik dari gelatin untuk kegunaan dalam makanan halal.
UKM kini menampung seramai kira-kira 40 orang pelajar pasca siswazah dari Sudan dalam berbagai fakultinya. Ada diantara mereka ditaja Kerajaan Malaysia di bawah program bantuan teknikalnya. Beliau berharap dengan bantuan GAB lebih ramai pelajar Sudan dilatih di UKM bagi menambahkan modal insan untuk penyelidikan getah itu.
Prof Aminah berkata penyelidikan yang akan dijalankan akan merangkumi potensi kegunaan getah untuk kepentingan kesihatan dan juga sebagi bahan dalam bahan makanan halal. Ini, katanya, akan berupa satu usaha bagi untuk kepentingan dunia Islam.
Pengurusi GAB Dr Taj El Sir Mustafa berkata kini hanya antara 40,000 hingga 50,000 tan getah Arab dihasilkan setahun dan diekspot dalam kedudukan aslinya.
Beliau juga menerangkan bahawa pengeluaran itu dapat ditingkatkan hingga 500,000 tan setahun dengan mudah kiranya ada penambahan permintaan berkat pengetahuan luas mengenai khasiat kesihatannya.

Leave a Reply